DUNGUN: Sepuluh penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin nyaris
maut setelah sebuah bas ekspres merempuh rumah kedai dan kedai menjual
barangan basah di kilometer 84.5 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu, Jalan
Batu 7 berhadapan politeknik itu di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 11.15 pagi, kesemua pelajar diploma jurusan
Kejuruteraan Elektrik tahun pertama itu baru hendak menikmati makanan di
kedai berkenaan.
Menceritakan detik-detik cemas itu, pelajar Azizul Hakimi Ibrahim,
18, berkata ketika kejadian, kesemua mereka berada di bahagian luar
kedai dan mendengar bunyi bising serta teriakan daripada anak peniaga
berkenaan.
"Ketika berpaling, kami lihat sebuah bas meluncur laju ke arah kedai
tempat duduk kami dan masing-masing cepat melompat lari menyelamatkan
diri daripada dirempuh bas berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita
di tempat kejadian.
Seorang lagi pelajar, Mohd Mujiburrahman Hanafi, 18, berkata dia
sempat melihat bas ekspres yang terbabas laju itu menyeret sebuah kereta
Honda Civic yang dinaiki dua orang.
"Saya sangkakan bas itu hendak berhenti di kedai berkenaan namun
kenderaan itu tetap meluncur laju sebelum melanggar sebuah kereta dan
terus merempuh kedai menjual makanan basah dan kedai makan ini.
"Ketika itu, saya yang panik terus menjerit dan suruh rakan lain selamatkan diri," katanya.
Akibat rempuhan itu, kesemua pelajar terbabit dihantar ke Hospital
Dungun kerana mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki, tangan,
kepala dan muka kerana dihempap kayu bangunan itu.
Sementara itu, pemilik kedai, Wan Maznah Wan Abdullah, 51, berkata
ketika kejadian, dia sedang memasak di dapur apabila tiba-tiba terdengar
anak perempuannya menjerit.
Dia lantas keluar dan tergamam melihat sebuah bas dari arah Kemaman menghala ke Kuala Terengganu itu melanggar kedainya.
"Ketika kejadian, kira-kira 30 pelanggan saya sedang makan sebelum dikejutkan rempuhan kuat dari bas berkenaan.
"Saya bersyukur kejadian ini tidak melibatkan kecederaan yang parah kepada pelanggan serta anggota keluarga saya," katanya.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi
Bernama mengesahkan kejadian dan berkata kejadian berpunca daripada
masalah brek bas yang dipandu Zahri Muda, 39.
"Pemandu bas itu cedera ringan manakala pemandu dan penumpang kereta
Honda Civic tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment